Kerjaya Umie Aida

Dari model komersial ke Emas Melayu (1989–1999)

Umie mula berjinak dalam bidang seni sebagai model komersial di bawah kelolaan model terkenal Azah Aziz ketika beliau baru berusia 16 tahun pada 1989. Populariti yang ditempa oleh kakaknya, aktres & pengarah Erma Fatima sedikit sebanyak membantu memberi pendedahan kepada Umie pada ketika itu. Namun kerjaya awalnya lebih cemerlang sebagai model baik dalam komersial TV mahupun video muzik. Antara MTV yang pernah menampilkan Umie adalah Nusantara nyanyian Sheqal pada tahun 1990. Bagi mencari wang saku Umie sering mengikuti Erma ke lokasi dan akhirnya berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan dengan bayaran minima.

Pada tahun 1990 Umie menggunakan nama komersial Ermy Zura untuk menyertai pertandingan pencarian gadis popular Dewi Remaja 1990/91. Umie berjaya mara ke final bersama gadis lain yang kini popular sebagai aktres Jasmin Hamid, Kuza dan supermodel Irene Santiago di mana acara ini dimenangi model Jasmine Dhillon. Bertitik tolak daripada itu nama Umie mula popular di kalangan penerbit. Drama TV pertama lakonan beliau adalah Maafkan Mama yang ditayangkan di TV3 manakala pada tahun 1991 juga Umie muncul dalam filem debutnya berjudul Memori arahan Datuk Rosnani Jamil. Peluang muncul dalam filem tersebut digunakan sebaik mungkin oleh Umie untuk menuntut ilmu lakonan daripada barisan pelakon hebat yang turut membintangi filem itu seperti Jins Shamsuddin, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dam penyanyi popular Nash Elias.

Nama Umie sering membintangi drama-drama popular di kaca TV antara yang paling popular adalah drama Hello bersama M. Nasir & Tiara Jacquelina pada tahun 1993. Pada tahun 1994 bakat Umie mula diberi perhatian apabila dicalonkan sebagai Pelakon TV Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa menerusi watak klasik dalam drama Rupawan. Seterusnya Umie memberi persembahan hebat dalam trilogi drama Selamat Hari Jadi Su yang mana beliau dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin menerusi sekual kedua siri tersebut. Pada tahun 1995 Umie kembali ke layar perak menerusi watak Sharifah Hasnah dalam filem muzikal Jimi Asmara arahan Erma. Menerusi watak pembantu dalam filem tersebut Umie dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1995. Umie juga menempa nama di Indonesia menerusi drama popular bersama aktor Slamet Rahardjo seperti Jodon & Bukan Itu...Bukan Ini....

Umie terlibat sebagai teraju utama filem Emas Melayu atau judul antarabangsanya Pure Gold arahan pengarah Inggeris Bart Righters namun filem itu tidak ditayangkan biarpun sepatutnya menemui penonton pada tahun 1997. Beberapa buah drama lakonan Umie ketika itu juga tidak dapat ditayangkan ekoran masalah bersama LPF, antaranya drama Hartini & Jangan pada 1997 juga pada tahun 2000 iaitu drama 5 Hari Raya & Ma Rabbuka. Bagi memantapkan lagi skill lakonan Umie aktif dalam pementasan teater pada penghujung 90-an. Antara teater yang mengangkat nama beliau adalah Lantai T. Pinkie, Mencari Salina, Pelayaran Nur Atma & Dejavu Seorang Perempuan.

Umie meraih kemuncak populariti pada lewat tahun 1990an menerusi penampilan hebatnya dalam drama Metafizik bersama aktor Ahmad Yatim dan Surah Terakhir arahan Sidi Oraza. Drama Surah Terakhir menghadiahkan beliau trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1999. Pada tahun 1999 juga Umie muncul dalam drama bersiri TV paling popular pada tahun itu iaitu Romeo & Juliet bersama aktor/pengarah Ahmad Idham. Populariti Umie dibantu dengan penghasilan album solo studio pertama Umie mengambil nama sempena drama tersebut yang juga menjalani penggambaran di United Kingdom. Album solo studio pertama Umie menampilkan hits seperti Kepadamu Kekasih dan Redup Kerinduan menambahkan lagi pengaruh beliau sebagai artis serba boleh. Dalam acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1998/99 Umie dijulang sebagai pemenang Pelakon TV Wanita Popular (ABPBH) menewaskan pelakon-pelakon senior seperti Aida Khalida & Haliza Misbun.

Di puncak populariti dan kemasyhuran (2000–2009)

Pada tahun 2000 Umie muncul sebagai aktres dengan kutipan box-office tertinggi iaitu menerusi dua buah filem lakonannya, Senario Lagi & Leftenan Adnan berjaya mengumpul keseluruhan RM7.6juta menewaskan kutipan box-office filem Erra Fazira yang hanya berjumlah RM 3.6juta pada tahun itu. Namun dari segi populariti individu Erra berjaya menewaskan Umie di ABPBH 2000 untuk kategori Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH). Dalam acara yang sama Umie juga dicalonkan sekali lagi untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular namun tewas kepada aktres Abby Abadi. Karier lakonan Umie banyak dipacu oleh kejayaan seimbang di layar kaca, layar perak, seni suara & pementasan teater. Umie muncul dalam drama bersiri yang masih memegang rekod sebagai drama bersiri termahal di Malaysia iaitu Salam Taj Mahal sebanyak 32 episod. Umie juga menyanyikan lagu tema siri ini dengan judul serupa, lagu tersebut menjadi lagu pertama nyanyian beliau yang menjuarai Carta Era oleh Radio Era.fm serta menjuarai beberapa carta radio lain termasuk Muzik.fm sekitar bulan Ogos hingga September 2000.

Tidak cukup dengan itu lakonan Umie dalam filem-filem box - officenya juga meraih perhatian juri Festival Filem Malaysia apabila Umie dicalonkan dalam kedua-dua kategori lakonan iaitu Pelakon Wanita Terbaik (FFM) menerusi watak Sophia Pakih Muda dalam Lt. Adnan manakala watak penyanyi kelab malam bernama Linda dalam Senario Lagi menerima pencalonan untuk kategori pembantu. Biarpun tewas dalam kedua-dua kategori tersebut, Umie mengubat luka apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2000/2001 menerusi drama Ayuni. Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut beliau dalam acara yang sama. Populariti dan kredibiliti Umie terus mekar sehingga beliau terpilih melakonkan watak Embun Harun dalam filem emansipasi Embun pada tahun 2002. Menerusi filem inilah lakonan Umie mendapat pujian menyeluruh pengkritik. Umie disifatkan memberi jiwa yang jujur untuk watak gadis Melayu ketika zaman pendudukan Jepun yang berjuang menentang kezaliman penjajah. Umie meraih pencalonan Aktres Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 42 di Seoul, Korea Selatan namun tewas kepada aktres Makiko Esumi dari Jepun menerusi filem Inochi. Biarpun tewas Umie berjaya memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 16 & Anugerah Skrin 2003. Kesinambungan daripada fenomena watak Embun, Umie bergandingan sekali lagu bersama Erma menerbitkan drama bersiri Haryati yang diadaptasi daripada novel tulisan Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk. Drama bersiri 25 episod ini berlatar belakangkan Tanah Melayu & Sumatera pada era 20-an hingga 50-an diterajui Umie yang membawa watak Haryati. Sambutan hebat daripada orang ramai membuahkan sebuah lagi musim iaitu Haryati 2 yang disiarkan 2 tahun selepas itu.

Pada tahun 2002 dan 2003 Umie muncul dalam beberapa buah produksi TV yang popular seperti telefilem Rumah Di Tengah Sawah, Tarantula serta drama bersiri lakonan Umie yang paling panjang siarannya, Dalam Hati Ada Cinta yang bersiaran sebanyak 150 episod dalam 5 musim selama 4 tahun di Astro Ria. Pada tahun 2004 beliau muncul dalam filem Bintang Hati bersama aktres komedi Amy Mastura.Namun pada tahun 2004 populariti Umie turut sama naik dengan populariti drama bersiri Rindu Semakin Jauh yang dilakonkannya bersama Rosyam Nor, Eja & Hairie Othman. Drama yang mengisi slot Samarinda itu menyaksikan lakonan Umie sebagai antagonis menerima reaksi positif. Drama ini juga menyaksikan kerjasama secara profesional beliau bersama bekas teman lelaki (Hairie) setelah kali terakhir digandingkan dalam drama 5 Hari Raya. Umie mengukuhkan kedudukan sebagai aktres yang berpengarauh apabila bergandingan bersama Rosyam Nor dalam filem Gangsster pada tahun 2005 yang meraih kutipan pecah panggung tertinggi pada tahun itu. Pun begitu sebuah lagi filem beliau pada tahun tersebut iaitu Qaisy & Laila meraih kutipan kurang memberangsangkan. Filem mengenai sekumpulan sukarelawan yang berkhidmat di kem pelarian perang Afghanistan itu membawa tema yang berat. Walau bagaimanapun lakonan Umie diiktiraf apabila menerima pencalonan kedua di Festival Filem Asia Pasifik yang berlangsung di Kuala Lumpur. Umie dicalonkan untuk kategori Aktes Pembantu Terbaik dan tewas kepada aktres Indonesia, Rima Melati (Ungu Violet). Seterusnya Umie muncul dalam filem arahan Afdlin Shauki berjudul Buli Balik pada 21 Januari 2006 bergandingan bersama Afdlin, Hans Isaac dan Nasha Aziz. Selepas itu beliau sekali lagi bergandingan bersama Nasha dalam filem seram Puaka Tebing Biru. Ketika memulakan penggambaran filem tersebut Umie diserang penyakit apendiks yang mengakibatkan beliau terpaksa menarik diri daripada filem tersebut. Namun atas kehendak penerbit dan pengarah filem itu sendiri, Osman Ali, produksi filem itu sanggup menangguhkan pengambaran sehingga Umie betul-betul pulih. Umie juga muncul dalam drama bersiri Aku, Dia & Cape Town di slot Samarinda. Drama ini menjalani penggambaran di Afrika Selatan menyaksikan gandingan Umie bersama Eizlan Yusof, Lisdawati dan Sheila Rusly.

Setelah lebih 15 tahun bergelar pelakon, akhirnya Umie bergelar penerbit filem menerusi produksinya Amazon Entertainment Production yang menerbitkan filem Diva Popular arahan Erma Fatima. Biarpun dihimpit kontroversi kononnya Umie ditaja kenamaan untuk menerbitkan filem itu, Umie tampil berterus terang memberitahu dia mendapat bantuan daripada SME Bank. Umie sendiri melakonkan watak utama yang merupakan watak kesinambungan daripada drama Pelakon Popular pada tahun 1994 iaitu Erna Teteye Tuminah Jongkoh, seorang aktres ternama. Filem komedi yang membariskan Afdlin, Sheila, Awie, Ezlynn & Azean Irdawaty menceritakan mengenai persaingan merebut populariti diantara artis realiti TV dan artis lama itu ditayangkan pada Aidilfitri dan meraih kutipan box-office. Sebelum itu Umie juga membawakan sebuah lagi naskhah bertema serupa namun lebih serius berjudul Pesona Bintang yang disiarkan di TV2 sebanyak 26 episod. Kontroversi melanda Umie sekali lagi apabila pengarah A.R Badul mengkritik beliau dan pelawak Saiful Apek yang dikatakan gagal memberi komitmen kepada filem lakonan mereka berjudul Salah Bapak yang ditayangkan lewat 2 minggu daripada Diva Popular. Setelah sekian lama tertangguh akhirnya filem Puaka Tebing Biru menemui penonton pada 18 Februari 2007.

Dari menerjah era ekslusif ke masa kini (2010–kini)

Genap 15 tahun pembabitan beliau dalam industri, pelbagai pihak meletakkan Umie di tahap yang cukup tinggi sebagai aktres. Sejak itu Umie mula menjadi lebih selektif dalam berkarya. Muncul dengan tiga buah filem iaitu epik noir Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid, komedi romantik Cuci (Hans Isaac) dan komedi urban Pisau Cukur (Bernard Chauly), Umie berhasil membuktikan bahawa beliau masih mampu menggugat aktres-aktres muda yang sedang mencipta nama. Di kaca televisyen pula beliau cemerlang dengan beberapa siri TV yang meraih tontonan tertinggi seperti melodrama arahan Shahrul Ezad Mohammedin Kerana Cintaku Saerah bersama Benjy & Noorkhiriah Ahmad Shapie, drama berkisar tentang keagamaan & saudara baru Abadi Sebuah Cinta bersama Faizal Hussein, Janet Khoo & Rosyam Nor, juga drama mengenai persamaan gender arahan Aziz M. Osman berjudul Vice Versa serta drama seram yang mencipta fenomena tersendiri, Kekasihku Seru arahan Kabir Bhatia. Menerusi drama bersiri 26 episod terbitan Filmscape itu, Umie dilaporkan menerima bayaran tertinggi untuk seorang aktres di kaca TV dimana pengarahnya, Kabir Bhatia menyifatkan ia setimpal dengan hasil kerja yang diberikan Umie dalam menghidupkan watak Mas Suri dalam drama tersebut.

Tidak lagi sekadar menjadi wajah penyeri layar perak / kaca TV, Umie kini diberi peranan yang signifikan dalam karier lakonannya. Pada tahun 2009 beliau muncul kembali di pentas teater apabila memegang watak Che Aminah Mohammad, ibu angkat kepada gadis yang mencetuskan revolusi Islam di Nusantara iaitu Natrah (Nadia Bertough) dalam pementasan Natrah arahan Erma Fatima di Istana Budaya. Meraih pelbagai pujian daripada pengkritik, teater yang turut dilakonkan bintang-bintang besar seperti Maya Karin, Remy Ishak, Samantha Schubert dan Sofia Jane itu disambung ke pementasan kali kedua setahun selepas itu. Teater itu menjadi teater bukan muzikal yang paling lama dipentaskan di Istana Budaya.

Setelah mendirikan rumahtangga pada tahun 2010, ruang lingkup pembabitan Umie dalam dunia lakonan juga banyak bertumpu kepada percubaan beliau untuk menghidupkan watak-watak kompleks dan ia diunjurkan dalam persembahan hebat beliau menerusi beberapa drama televisyen seperti Bukan Bidadari (Aziz. M Osman) dimana beliau meraih pujian apabila membawakan watak wanita yang mengalami kekeliruan identiti setelah berpisah dengan suami. Menerusi drama Masyitah yang dicalonkan di Anugerah Skrin 2010 pula, beliau diberi watak seorang ibu yang menguruskan anak yang menghidap autisme. Pada tahun 2010 juga drama Airmata Nur Salina yang disiarkan sempena Aidilfitri di TV3 pula meraih tontonan hingga 3.2 juta penonton apabila Umie bergandingan bersama pelakon muda Remy Ishak untuk menghidupkan watak Salina, isteri yang dihukum gantung setelah disabit kesalahan membunuh suaminya sendiri. Drama tersebut juga dijadikan sekuel berjudul Karma Salina dimana Umie tampil sebagai bintang undangan.

Pada tahun 2011 Umie muncul membawakan watak Lang, ibu kepada pengasas kerajaan Melayu Langkasuka dalam filem epik terunggul arahan Yusry Abdul Halim berjudul Hikayat Merong Mahawangsa. Biarpun muncul dalam babak imbasan semula, lakonan Umie disifatkan sebagai antara faktor penarik kepada filem tersebut yang mengutip RM 6.8 juta ketika ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini kemudiannya ditayang serta diedarkan di 13 buah negara di seluruh dunia. Seterusnya beliau kembali bekerjasama dengan Kabir Bhatia sebagai teraju utama filem epik zaman pendudukan Jepun berjudul Azazil bersama Diana Danielle dan Remy Ishak. Sememangnya filem tersebut dinanti-nanti oleh peminat Umie lebih-lebih lagi genre epik sangat sinonim dengan Umie. Beliau juga kembali ke Istana Budaya apabila diberi peranan sekali lagi sebagai ibu kepada Aaron, kali ini menerusi teater adaptasi daripada novel karya Khadijah Hashim pada tahun 1968 berjudul Badai Semalam. Menariknya, beliau bergandingan bersama rakan baiknya sendiri Erra Fazira sebagai menantu dan mentua dan mereka berdua menerusi Frensis Production bergabung bersama penerbit Ziela Jalil sebagai penerbit bersama. Terdahulu sebelum teater tersebut, Umie dan Erra bergandingan dalam drama TV bergenre komedi Mak OK Jer! arahan Micheal Ang untuk siaran Aidilfitri 2011.

Anugerah Skrin 2011 menyaksikan Umie mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik (Drama) menerusi drama Airmata Nur Salina menewaskan lakonan hebat Erra dalam drama Sanggul Beracun. Ini merupakan kemenangan kategori yang sama buat kali ketiga di ASK. Menyusul di tahun 2012, Umie memperlahankan radar seninya apabila hanya memberi fokus kepada drama bersiri Waris yang merupakan kesinambungan kepada drama Kekasihku Seru yang telah ditayangkan pada 2008. Ini bermakna sekali lagi Umie menjelmakan watak Mas Suri ke layar kaca. Pada tahun 2011, Umie bersama rakan artis seperti Ziela Jalil dan Erra Fazira menubuhkan syarikat produksi teater Frensis Sdn Bhd di mana mereka menerbitkan teater berskala besar seperti Badai Semalam (2011) dan Bahayanya Wanita (2012). Disamping itu beliau tetap tidak lupa untuk muncul dalam beberapa drama TV seperti Sepatu Merah (2012), Aku Bukan Malaikat (2013), Hajar dan Sarah (2013) dan drama bersiri Mana Hilangnya Juwita (2012) & Ummi (2013). Menerusi drama Sepatu Merah dan Aku Bukan Malaikat (kedua-duanya arahan Erma Fatima), beliau mendapat nominasi Aktres Terbaik di Anugerah Skrin 2012 dan 2013. Umie juga menerima nominasi untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Malaysia 2013 dan Festival Filem Malaysia menerusi watak Ibu Yani, pengamal paranormal di era 40an dalam filem Sembunyi: Amukan Azazil.

Untuk rekod, gelaran untuk Umie Aida ialah Datin Umie Aida dan bukan Datin Paduka Umie Aida sebagaimana pihak media sering laporkan. Gelaran Datin Paduka ialah darjah kebesaran kurniaan DYMM Sultan Selangor untuk wanita (cth: Datin Paduka Shuhaimi Baba) sementara Datuk Paduka ialah untuk indivdiu lelaki. Disebabkan Umie meminjam gelaran suaminya iaitu Datuk Paduka, gelaran untuk Umie tidak boleh disebut Datin Paduka sebaliknya ialah Datin sahaja melainkan Umie menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor yang membawa gelaran Datin Paduka.